+6013-329 4134 emaszaman@gmail.com

Dalam agama Islam, emas dan perak dianggap simbol kekayaan harta yang mempunyai nilai yang akan berkembang dari semasa ke semasa. Sejak zaman dahulu lagi, emas dan perak telah digunakan dalam urusan jual beli perniagaan.

Emas dan perak dibentuk menjadi syiling-syiling dinar (emas) dan dirham (perak) serta menjadi barangan perhiasan bagi kaum wanita. Maka, dari ciri-ciri istimewa ini, Islam mewajibkan zakat bagi emas dan perak – tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Dalil wajib zakat emas dan perak:

Dalil Al-Quran:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka kabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (Surah At-Taubah : Ayat 34)

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Saidina Ali telah meriwayat bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham , dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka”.

(Hadis Riwayat Muslim)

 

Sebelum anda membaca lebih lanjut, jom kita fahami beberapa istilah yang kebiasaannya digunakan dalam pengiraan zakat emas/perak:

(i) Nisab Berat Emas/Perak
(ii) Haul Tempoh emas dipakai/disimpan
(iii) Uruf Bermaksud kadar kebiasaan atau adat. Di sini uruf merujuk kepada adat/kebiasaan kadar pemakaian emas oleh masyarakat di sesebuah kawasan/negeri

 

Uruf Emas bagi setiap Negeri di Malaysia adalah seperti berikut:

 

Terdapat beberapa kategori emas yang dikenakan zakat. Antaranya adalah emas simpanan, emas perhiasan (dipakai), emas pelaburan dan emas cagaran (pajak gadai).

Zakat emas/perak setiap negeri di Malaysia mungkin sama atau berbeza mengikut uruf ketentuan pusat-pusat zakat atau majlis-majlis agama setiap negeri.

Namun, yang pastinya, kadar zakat emas/perak yang dikenakan bagi seluruh Malaysia adalah sama iaitu 2.5% dari nilai emas/perak semasa.

Bagi emas perhiasan atau emas yang dipakai, zakat yang dikenakan perlu mengambilkira jumlah uruf yang ditetapkan bagi setiap negeri, melainkan negeri tersebut tidak menetapkan jumlah uruf, contohnya Negeri Kelantan tidak mengenakan uruf bagi zakat emas perhiasan.

Manakala bagi emas simpanan atau pelaburan, pengiraan zakat dibuat dengan mengambilkira jumlah NISAB (sama atau lebih dari 85 gram atau 20 dinar) dan HAUL (tempoh simpan – setahun) serta kadar zakat dari nilai semasa emas/perak.

Di sini saya akan rungkaikan secara ringkas pengiraan zakat emas/perak mengikut negeri-negeri di Malaysia.

EMAS PERHIASAN

 

Secara asasnya, formula pengiraan zakat emas/perak perhiasan adalah seperti berikut:

i) NEGERI YANG MEMPUNYAI URUF:

Formula: ( Berat Emas – Uruf ) X Harga Semasa X Kadar Zakat = Jumlah Zakat

Contoh: Puan Yati menetap di Selangor dan mempunyai emas hiasan yang dipakai seberat 900 gram, pernah dipakai sekali atau lebih dalam tempoh setahun. Berapa zakat emas yang wajib dibayar oleh Pn Yati setiap tahun?

Pengiraan:

Andaikan harga semasa 1 gram emas adalah RM250.

Uruf emas Negeri Selangor adalah 800 gram.

(900 gram – 800 gram) x RM250 x 2.5%

= 100 gram x RM250 x 2.5%

= RM25,000 x 2.5%

= RM625.00 adalah Jumlah Zakat Emas Simpanan yang wajib dibayar oleh Pn Yati.

Nota: Penolakan jumlah uruf juga bergantung pada negeri. Contohnya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menetapkan zakat emas dikenakan sekiranya emas hiasan dimiliki melebihi uruf yang ditetapkan sebanyak 800 gram, tetapi pengiraannya tidak ditolak dengan jumlah uruf. Contoh seperti di bawah:

Formula: Berat Emas (melebihi Uruf) X Harga Semasa X Kadar Zakat = Jumlah Zakat

Contoh: Puan Nora menetap di W.P KL dan mempunyai emas hiasan yang dipakai seberat 900 gram, pernah dipakai sekali atau lebih dalam tempoh setahun. Berapa zakat emas yang wajib dibayar oleh Pn Nora setiap tahun?

Pengiraan:

Andaikan harga semasa 1 gram emas adalah RM250.

Uruf emas hiasan W.P KL adalah 800 gram. Pn Nora wajib bayar zakat emas sebab miliki emas hiasan melebihi Uruf W.P KL.

900 gram x RM250 x 2.5%

= 900 gram x RM250 x 2.5%

= RM225,000 x 2.5%

= RM5,625.00 adalah Jumlah Zakat Emas Simpanan yang wajib dibayar oleh Pn Nora.

*Zakat tidak diwajibkan jika emas hiasan dimiliki tidak melebihi uruf.

ii) NEGERI YANG TIADA URUF:

Buat masa ini, hanya Negeri Kelantan menetapkan tiada uruf emas bagi pengiraan zakat di negeri tersebut dan hanya emas simpanan sahaja diwajibkan zakat sekiranya melebihi nisab 85 gram. Bagi emas perhiasan, walaupun dimiliki melebihi nisab 85 gram, tiada zakat diwajibkan di Negeri Kelantan.

 

EMAS SIMPANAN

Bagi emas simpanan pula, zakat hanya diwajibkan sekiranya berat (nisab) simpanan bersamaan 85 gram atau lebih dan disimpan dalam tempoh setahun (haul). Pengiraan Zakat emas simpanan bagi semua negeri di Malaysia adalah sama. Formula dan pengiraan adalah seperti berikut:

Formula: Berat Emas x Harga Semasa x Kadar Zakat

Contoh: Encik Abu simpan emas seberat 90 gram dalam tempoh setahun. Berapa zakat emas simpanan yang wajib dibayar oleh En Abu?

Pengiraan:

Andaikan harga semasa 1 gram emas adalah RM250

90 gram X RM250 X 2.5%

= RM22,500 x 2.5%

= RM562.50 adalah Jumlah zakat emas simpanan yang wajib dibayar oleh Encik Abu.

*Tidak wajib zakat ke atas emas simpanan sekiranya berat (Nisab) tidak sama atau melebihi 85 gram.

 

ZAKAT PERAK

Bagi Zakat Perak pula, tidak kira ianya dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak (disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai semasa perak dan kadar zakat. Pengiraannya juga adalah sama bagi seluruh Malaysia. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram (200 dirham) atau lebih. Formula, contoh situasi dan pengiraan adalah:

Formula: Berat Perak X Harga Semasa X 2.5% = Jumlah Zakat

Contoh: Encik Firdaus memilik 1000 gram perak dan disimpan selama setahun.

Andaikan harga semasa 1 gram perak adalah RM4.10

Maka pengiraannya adalah:

1000 gram x RM4.10 x 2.5%

= RM4,100 x 2.5%

= RM102.50 adalah Jumlah zakat perak yang wajib dibayar oleh Encik Firdaus.

*Tidak wajib zakat ke atas perak yang kurang dari Nisab 20 dirham atau 595 gram.

 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai zakat emas/perak setiap negeri, anda boleh klik pada link sumber yang sediakan mengikut negeri seperti di bawah:

Selangor W.P Kuala Lumpur
Negeri Sembilan Johor
Melaka Kedah
Perak Perlis
Terengganu Pulau Pinang
Pahang Sabah
Sarawak Kelantan

 

Maklumat yang dikongsikan adalah betul berdasarkan maklumat semasa pengiraan zakat emas/perak setiap negeri. Sekiranya terdapat perubahan, ianya adalah bergantung kepada sesebuah negeri tersebut.

Diharapkan dari artikel ini, pemahaman anda mengenai zakat emas dan perak akan meningkat. Ianya adalah perkara asas yang perlu anda faham mengenai pengiraan zakat emas dan perak.

Akhir kata, saya bukanlah seorang pakar dalam perkara ini. Cuma apa yang saya tulis adalah ringkasan pemahaman saya berdasarkan bacaan dan rujukan sumber-sumber dari pusat-pusat zakat di seluruh Malaysia. Anda perlu merujuk kepada pusat zakat di negeri anda menetap bagi mendapatkan pengesahan dan maklumat yang lebih jelas.

Jika perlukan maklumat lanjut, klik butang di bawah untuk Whatsapp atau Facebook Emas Zaman

 

Sekian & Semoga Bermanfaat.

Kongsikan Artikel Ini Kepada Semua… Sharing is Caring! laughing